Kenyataan Pengerusi

Encik Ou Shian Waei
Pengerusi & Pengarah Kepentingan Awam

Malaysia sedang dalam peralihan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan bakal menghadapi status negara tua menjelang 2030, menurut Bank Dunia. Dengan ekonomi negara yang semakin berkembang dan matang, lebih ramai yang memilih untuk menceburkan diri dalam bidang ekonomi gig atau bekerja sendiri. Bagaimana bentuk persediaan persaraan kita akan mencerminkan bagaimana kita bakal menghadapi perubahan trend pekerjaan dan demografik pada masa akan datang.

Sama ada anda seorang yang bekerja sendiri dan merancang pelan persaraan yang sesuai dengan gaya hidup, atau anda adalah kakitangan kerajaan yang membina pelan simpanan selain skim pencen kerajaan mahupun kakitangan swasta yang mengumpul dana persaraan tambahan selain caruman skim mandatori, menyimpan untuk persaraan merupakan suatu tabiat yang sangat penting untuk dimulakan seawal mungkin bagi meraih kehidupan selepas persaraan yang bahagia, terjamin dan bermakna.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, purata rakyat Malaysia hari ini hidup sehingga 75 tahun. Ini bermakna adalah suatu keperluan bagi kita mengumpul simpanan yang cukup agar kita dapat mengekalkan gaya hidup yang diingini sekurang-kurangnya 15 tahun selepas umur minimum persaraan yang ditetapkan, iaitu 60 tahun.

Walaupun tiada “formula ajaib” bagi menentukan berapa banyak seseorang perlu menyimpan, namun prinsip asas adalah dengan mengenepikan satu pertiga (1/3) daripada pendapatan bulanan kita sementara kita masih bekerja bagi menjana dana sebagai pendapatan gantian bagi menampung persaraan. Skim Persaraan Swasta (PRS) direka khusus sebagai sebuah skim sukarela bagi membantu rakyat Malaysia mengumpul dana simpanan untuk jangka panjang.

Di PPA, kami sangat gembira melihat lebih ramai rakyat Malaysia, terutama golongan muda, telah mengambil langkah pertama menyimpan dengan PRS sebagai persediaan awal bagi mencapai kesejahteraan kewangan ketika bersara. Caruman PRS melayakkan pengecualian cukai peribadi sehigga RM3,000 setiap tahun, malah majikan yang mencarum dengan PRS bagi pihak kakitangan mereka juga layak untuk pemotongan cukai sehingga 7% melebihi kadar berkanun.

Sebagai pentadbir pusat PRS, PPA akan terus melindungi kepentingan Ahli PRS dan mengembangkan industri PRS bersama-sama lapan (8) Penyedia PRS dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Kami sangat berbesar hati dengan peranan yang dimainkan SC dalam membina kerangka kawal selia yang kukuh untuk industri PRS dan sangat menghargai komitmen yang diberikan dalam memacu dan meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan PRS.

Walaupun dalam keadaan semasa serta permulaan dekad yang mencabar ini, industri PRS tetap berdaya tahan untuk menjadi pilihan simpanan persaraan bagi rakyat Malaysia. Setakat Disember 2020, jumlah Ahli PRS secara purata telah meningkat sebanyak 28.8% peratus setiap tahun, manakala jumlah Nilai Aset Bersih (NAB) menyaksikan peningkatan tahunan sebanyak 42.5%. Pencapaian ini adalah bukti keyakinan terhadap PRS sebagai pilihan yang di kawal selia dan berstruktur bagi rakyat Malaysia menyimpan untuk persaraan.

PPA akan kekal fokus kepada objektif strategik untuk meningkatkan lanskap simpanan persaraan di Malaysia. Bersama badan-badan dalam Financial Education Network (FEN), kami juga sedang merangka usaha dan inisiatif selaras dengan agenda negara bagi menambah baik tahap celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia.

Menuju ke hadapan, PPA merancang untuk membina dan mempenalkan lebih banyak lagi perkhidmatan, terutamanya melalui digitalisasi dan teknologi kewangan, bukan sahaja untuk memupuk minat generasi muda kepada PRS dan kesedaran untuk merancang kewangan bagi persaraan lebih awal, tetapi juga bagi meluaskan lagi akses untuk setiap segmen dalam sosio-ekonomi bagi menyimpan lebih banyak untuk persaraan mereka.

ENCIK OU SHIAN WAEI
Pengerusi