ARTICLES

Simpan Untuk Persaraan Dan Nikmati Pelepasan Cukai

Malaysia merupakan negara kedua terpantas yang menuju ke arah negara tua (‘aged nation’), memetik laporan oleh BERNAMA, di bawah tajuk Risiko Persaraan bertarikh 29 Januari 2021. 15 tahun daripada sekarang, dijangkakan bahawa purata jangka hayat rakyat Malaysia akan mencecah umur 80 tahun. Dengan umur minimum persaraan 60 tahun, ini bermakna kita perlu menyediakan dana simpanan yang mencukupi bagi menampung keperluan persaraan sekurang-kurangnya bagi tempoh 20 tahun selepas persaraan.

Maka keperluan untuk menambah simpanan persaraan kini menjadi semakin penting dan kita perlu mula mengorak langkah dengan menambah simpanan persaraan melalui Skim Persaraan Swasta (PRS), skim simpanan sukarela jangka panjang yang direka untuk membantu rakyat Malaysia membuat simpanan lebih banyak untuk persaraan. PRS merupakan skim yang dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan menjadi tokok penambah bagi skim persaraan mandatori yang sedia ada.

PELEPASAN CUKAI PRS

Apabila memfailkan cukai pendapatan saban tahun, lazimnya kita akan sentiasa berusaha untuk memanfaatkan pelepasan cukai individu yang telah digariskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebaik mungkin. Oleh demikian, menyimpan dengan PRS sememangnya merupakan suatu langkah yang bijak kerana sebagai pencarum PRS, seseorang individu layak untuk mendapatkan pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setahun.

Pelepasan cukai PRS ini diperkenalkan khusus bagi menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan lebih banyak untuk persaraan. Melalui pelepasan cukai ini, Ahli PRS dapat menikmati penjimatan cukai daripada caruman yang dibuat setiap tahun. Dalam Belanjawan 2021, insentif cukai PRS ini telah dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025. Ini membuktikan usaha berterusan kerajaan bagi mempertingkatkan kesejahteraan persaraan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Jadual berikut menunjukkan jumlah pelepasan cukai yang bakal diperolehi melalui caruman tahunan RM3,000 ke akaun PRS. Sebagai contoh, sekiranya pendapatan tahunan Ahli adalah sekitar RM50,000 – RM70,000 setahun (atau RM4,200 – RM5,800 sebulan) dan kurungan cukai adalah 13%, maka caruman PRS sebanyak RM3,000 akan memberikan penjimatan cukai berjumlah RM390.

Kita hendaklah menjadi pelabur yang bijak yang mengambil manfaat bukan sahaja dari Pelepasan Cukai PRS, malahan terus menyimpan setiap bulan bagi mencapai matlamat persaraan kita. Informasi lanjut tentang Pelepasan Cukai PRS ini boleh didapati DI SINI.

PRESTASI DANA PRS

Sejak diperkenalkan pada 2012, PRS telah mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan. Setakat Oktober 2021, jumlah Ahli PRS telah mencapai 512,703 dengan Nilai Aset Bersih (NAB) melebihi RM5.3 billion. Berikut merupakan rumusan prestasi Dana PRS terbaik mengikut kategori:

KESIMPULAN

Akhir sekali, membina simpanan persaraan yang cukup seharusnya menjadi keutamaan kita, apatah lagi dengan kemudahan dan insentif yang disediakan bagi menggalakkan kita menyimpan seawal mungkin. Mulakan simpanan PRS hanya di hujung jari melalui perkhidmatan PRS Online sekarang sambil menikmati pelepasan cukai PRS. Setelah itu, pastikan kita terus konsisten untuk menambah simpanan menerusi PRS Online Top-Up setiap bulan agar kita memiliki dana yang mencukupi untuk persaraan yang kita mahukan.

Saya, Simpan di PRS kerana Saya, Suka Pelepasan Cukai PRS RM3,000 dan untuk menikmati persaraan yang saya mahukan!

Artikel ini pertama kali diterbitkan di KOSMO.