Nilai Aset PRS Cecah RM1.52 Bilion
KUALA LUMPUR 16 April – Skim Persaraan Swasta (PRS) merekodkan peningkatan nilai aset bersih (NAV) sebanyak 33 peratus kepada RM1.52 bilion didorong kesedaran orang ramai mengenai kepentingan simpanan persaraan. Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbir Pencen Swasta (PPA), Husaini Hussin berkata, pertumbuhan aset PRS yang positif itu seiring dengan hasrat kerajaan untuk mencapai RM30.9 bilion menjelang 2020.
Katanya, pada akhir 2016, PRS mempunyai 47,850 pencarum belia yang membentuk hampir 22 peratus daripada 221,434 jumlah keseluruhan ahli.
“PPA merupakan pentadbir utama PRS termasuk penyediaan akses dalam talian bagi akaun ahli dan pengurusan akaun sepanjang hayat serta menjadi pusat rujukan sehenti mengenai PRS di Malaysia.
“Kami menyarankan orang ramai untuk menyimpan sepertiga daripada pendapatan untuk persaraan nanti, daripada jumlah ini, 23 peratus sudah dicarum ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan untuk mencukupkan sepertiga itu, 10 peratus disimpan dan dilaburkan ke dana PRS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
PRS yang diuruskan oleh PPA, diwujudkan sejak Disember 2012 adalah skim pelaburan jangka masa panjang bagi menambah simpanan dana persaraan yang mana modalnya disimpan dan memberi ahli pulangan diselaraskan dengan inflasi. PRS adalah teras ketiga kerangka persaraan negara dan ia melibatkan aktiviti pelaburan yang diselia dan ditadbir oleh Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Menurut Husaini, persediaan menghadapi hari persaraan adalah penting kerana ramai pesara tidak berkeupayaan untuk menggantikan pendapatan yang diperoleh mereka ketika bekerja setelah bersara kelak. Beliau berkata, dalam pembentangan Bajet 2017, kerajaan telah mengumumkan bahawa Insentif Golongan Muda PRS dinaikkan kepada RM1,000.
“Sehubungan itu, kerajaan akan memberikan tambahan nilai caruman sebanyak RM1,000 dalam bentuk Unit PRS kepada setiap pencarum PRS yang layak.
“Bagi melayakkan diri, pencarum mestilah mempunyai simpanan kasar sebanyak RM1,000 yang dikumpul dalam jangka masa dua tahun bermula 2017 sehingga 2018,” katanya.
Source: Utusan Malaysia