ARTICLES

Menyimpan Untuk Hari Persaraan Mengikut Prinsip Islam

Perkembangan baik dapat dilihat apabila kini semakin ramai di kalangan kita yang mula celik mengenai kepentingan menyimpan sebagai bekalan hari tua nanti. Malah ramai yang dah mula melabur dan mengembangkan dana persaraan demi kegunaan masa depan.

Private Pension Administrator Malaysia (PPA) selaku pentadbir pusat untuk industri Skim Persaraan Swasta (PRS) telah menjalankan soal selidik di kalangan Ahli PRS dan hasil dari kajian tersebut mendapati 56.7% daripada responden menyimpan di PRS adalah untuk tujuan perancangan persaraan mereka sendiri, dan bukan atas faktor-faktor lain seperti insentif cukai dan sebagainya.

Peningkatan kesedaran ini juga menjadikan ramai yang mula mencari platform seperti PRS untuk menambah simpanan persaraan. Dan bagi anda yang ingin membuat pelan persaraan mengikut prinsip Islam, tahukah anda bahawa PRS juga ada menyediakan pilihan Dana PRS berasaskan Syariah untuk simpanan hari depan?

Untuk kali ini, kita akan membincangkan lebih mendalam tentang skim ini, terutamanya tentang Dana PRS berasaskan Syariah, serta pengawalseliaan, pemantauan dan prestasi semasa Dana PRS Patuh Syariah.

Apa Itu Skim Persaraan Swasta (PRS)?

Ada yang pernah dengar mengenai PRS tak?

Bagi yang baru nak mengenali skim ini, PRS adalah skim simpanan dan pelaburan jangka panjang sukarela yang direka bagi membantu anda menyimpan lebih banyak untuk persaraan nanti.

Di bawah kawalseliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), PRS berusaha untuk memberikan pilihan bagi semua rakyat Malaysia untuk menambah simpanan persaraan mereka di bawah kerangka kerja yang kukuh dan tersusun.

Pengawalseliaan Dana PRS Patuh Syariah

Terdapat dua komponen tambahan yang terdapat di dalam Kerangka Kerja Pengawalseliaan PRS Patuh Syariah iaitu:

  1. Majlis Penasihat Syariah (MPS), SC

Seperti produk Pasaran Modal Islam atau Islamic Capital Market (ICM) yang lain seperti ekuiti patuh Syariah dan sukuk, pematuhan Syariah bagi industri PRS ini adalah di bawah kawalseliaan MPS SC.

Peranan MPS SC adalah seperti berikut:

  • Memberi nasihat mengenai hal-hal berkaitan ICM;
  • Mengawalselia dan memastikan aktiviti yang berkaitan dengan ICM mematuhi Syariah; dan
  • Menerbitkan resolusi dan keputusan Syariah yang berkaitan dengan bidang kuasa yang relevan dari semasa ke semasa.
  1. Penasihat Syariah PRS (yang dilantik oleh Penyedia PRS)

Selain itu, untuk setiap Dana PRS berasaskan Syariah, setiap Penyedia PRS perlu melantik sebuah Penasihat Syariah untuk memberi khidmat nasihat Syariah di samping memantau pengurusan dan operasi Dana PRS agar mematuhi penanda aras yang ditetapkan oleh MPS, SC.

Untuk mengetahui siapakah Penasihat Syariah bagi Dana tersebut, anda boleh merujuk kepada Dokumen Pendedahan (‘Disclosure Document’) atau Helaian Penzahiran Produk (‘Product Highlight Sheet’) untuk Dana yang berkenaan.

Sekarang anda dah tahu betapa tersusunnya daripada segi pengawalseliaan patuh Syariah, jom kita tengok pula siapakah Penyedia PRS dan Dana-Dana PRS yang patuh Syariah.

Penyedia Dan Pilihan Dana PRS Patuh Syariah

Secara keseluruhannya, terdapat 8 Penyedia PRS di Malaysia yang menyediakan sebanyak 57 Dana PRS. Daripada jumlah ini, 26 daripadanya adalah Dana PRS Patuh Syariah.

Senarai Dana PRS Patuh Syariah:

Kesemua Penyedia PRS tersebut adalah institusi kewangan terkemuka yang telah diluluskan untuk menguruskan dan memasarkan Dana-Dana Skim PRS termasuk Dana PRS berasaskan Syariah.

Ok, tapi bagaimana pula dengan prestasi Dana-Dana ini?

Prestasi Semasa Dana PRS Patuh Syariah

Dengan pegangan pasaran sebanyak 32.9% daripada lebih RM4 bilion jumlah keseluruhan Nilai Aset Bersih (NAB) PRS, Dana-Dana PRS Patuh Syariah tetap berdiri teguh dan dilihat memiliki daya tahan walaupun dengan keadaan pasaran yang mencabar sepanjang tahun ini.

Berikut adalah ringkasan prestasi Dana PRS patuh Syariah yang terbaik (mengikut kategori Dana) sejak tarikh diperkenalkan:

Sumber: Morningstar
*Pulangan adalah dikira secara tahunan sejak tarikh diperkenalkan, setakat 30 September 2020.

Bagi yang berminat untuk mula menyimpan di dalam PRS yang patuh Syariah ini, anda boleh membuka akaun PRS melalui perkhidmatan PRS Online PPA. Dengan modal serendah RM100 saja, anda sudah boleh memulakan simpanan persaraan hari ini juga.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai PRS atau PPA, anda juga boleh menghubungi kami di talian Hotline 1300-131-772.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di Majalah Labur.